Anda tidak boleh mencapai kedudukan kewangan yang sihat jika anda tidak merancang.
Bagaimana caranya untuk mengetahui jika anda mempunya kedudukan kewangan yang sihat atau tidak. Berikut adalah ciri-ciri yang boleh dijadikan sebagai panduan/
1. Kebolehan untuk hidup tanpa bergantung kepada hutang pengguna
Hampir semua rakyat Malaysia mempunyai hutang pengguna. Kebanyakannya mungkin mempunyai kad kredit (bukan satu, malah beberapa!), dan sesetengahnya pula menanggung hutang yang tertunggak dari satu bulan kepada satu bulan yang lain. Kereta yang dibeli melalui sewa beli juga adalah satu jenis hutang.
Hutang pengguna didefinasikan sebagai proses meminjam wang untuk sesuatu yang nilainya akan berkurangan selepas membelinya. Golongan muda yang baru bekerja akan menggunakan kemudahan hutang pengguna untuk membeli peralatan rumah yang baru atau kereta. Terdapat juga golongan pekerja yang bergantung kepada hutang untuk menyara hidup sehingga akhir bulan kerana masalah kewangan. Oleh sebab terlalu berganting kepada hutang pengguna mengakibatkan mereka menghadapi kegawatan kewangan.
2. Keupayaan memiliki rumah bebas hutang sebelum bersara
Anda hidup pada zaman yang berbeza daripada zaman nenek moyang anda. Begitu juga dengan cara untuk memiliki rumah adalah berbeza. Pada hari ini, dengan membayar 10 peratus sebagai wang pendahuluan (sesetengah tidak mengenakan pendahuluan langsung), anda sudah boleh memiliki rumah. Sepatutnya bayaran ansuran rumah habis dibayar semasa bersara, tetapi sekarang institusi kewangan mungkin akan memanjangkan tempoh pembayaran sehingga anda berumur 75 tahun! Kemudahan ini mungkin menyebabkan jumlah ansuran bulanan semakin rendah, tetapi ini juga bermakna anda tidak boleh bersara sehingga anda mencapai usia 75 tahun!
Keadaan kewangan seseorang berada pada tahap optimum apabila ia tidak perlu lagi membayar hutang rumah selepas bersara. Pilihan lain ialah anda mempunyai dana yang boleh menjana pendapatan yang boleh membayar ansuran bulanan semasa bersara. Walau apapun caranya, anda dapat bersara tanpa hutang.
3. Keupayaan untuk menikmati persaraan yang terjamin dan dihormati
Kajian menunjukkan kurang daripada 5 peratus individu yang mempunyai kebebasan kewangan semasa bersara. Sebahagian daripadanya akan mengalami keadaan kewangan yang mengecewakan! Oleh itu menabunglah duit sebanyak boleh ketika anda masih boleh manjana pendapatan. Seperti kata pepatah “Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian!”
4. Keupayaan untuk memberi pelajaran anak-anak yang menjamin pekerjaan
Anak-anak dan cucu-cucu anda memerlukan persediaan untuk mendapatkan pekerjaan yang akan menjamin masa hadapan mereka. Oleh itu, anda perlu melabur dengan memberikan pendidikan yang secukupnya kepada keluarga anda agar ia dapat memberikan pulangan yang baik pada masa hadapan.
Graduan universiti boleh menjana pendapatan lebih daripada dua kali ganda pendapatan seumur hidup seorang lepasan SPM dan empat kali ganda pendapatan seumur hidup bagi mereka yang berhenti sekolah tanpa sebarang kelulusan. Sebaik-baiknya anda telah menyediakan dana apabila kegunaannya diperlukan. Anda patut melatih anak-anak anda supaya mereka mampu memilih jalan yang boleh membawa kepada kehidupan yang baik.
5. Keupayaan untuk membayar secara tunai barangan runcit
Kehidupan seharian memerlukan perbelanjaan harian. Adalah penting bagi seseorang yang mempunyai kewangan yang baik membayar secara tunai untuk barangan yang diperlukan. Anda mungkin membayar barangan runcit dan barangan keperluan dengan kad kredit, tetapi pastikan anda membayar penuh pada setiap bulan. Jikalau tidak, kadar faedah ke atas tunggakan baki kad kredit anda akan meningkatkan jumlah perbelanjaan anda.
6. Keupayaan untuk bertahan ketika menghadapi kecemasan
Kebanyakan kegawatan kewangan bersifat jangka pendek. Keluarga yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh mempunyai persedian sekurang-kurangnya enam bulan perbelanjaan mereka daripada “dana kecemasan”. Kehilangan pekerjaan, dibuang kerja atau diturunkan taraf kerja adalah sesuatu yang di luar jangkaan, dan ia tidak sepatutnya boleh menggugat kehidupan anda.
Sesebuah keluarga mungkin boleh ditimpa kemalangan, mala petaka semula jadi atau krisis kewangan yang teruk. Keluarga yang mempunyai keadaan kewangan yang sihat boleh mengharungi cabaran ini.
7. Keupayaan untuk hidup sepenuhnya, termasuk percutian, rekreasi dan aktiviti keluarga
Kehidupan akan terus berlalu sama ada anda mempunyai perancangan ataupun tidak. Oleh itu, anda perlu berhati-hati menjalani kehidupan pada masa ini dan bersikap beringat-ingat untuk menjalani kehidupan yang akan datang. Orang yang mempunyai kedudukan kewangan yang sihat dapat mengimbangi pengalaman peluang masa kini sambil membuat persiapan untuk masa akan datang. Sesetengah orang berpendapat bahawa semua keluarga harus pergi bercuti setiap tahun. Percutian, rekreasi dan masa rehat adalah bergantung kepada kedudukan kewangan yang sihat
0 comments:
Post a Comment